20120901

PINGAT GANGSA UNTUK AKU - INSYAALLAH

Alhamdulillah, setelah kali kedua mencuba akhirnya aku berjaya mengatasi ketakutan dan rasa tidak yakin aku bila berada di dalam air. Secara jujurnya aku adalah seorang hidrofobik dan klaustrofobik. Air yang dalam dan gelap menggerunkan aku, sama juga dengan ruangan yang tertutup dan gelap boleh buat aku gelisah.

Pada hari Khamis yang lepas, aku telah berjaya menamatkan Kursus Menyelamat Kelemasan di Air untuk Pingat Gangsa yang telah diadakan di Kolam Renang Majlis Belia Kangar, Perlis. Sepatutnya kursus ini berjalan selama seminggu, namun atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan rakan-rakan lain, kursus berjaya dihabiskan dalam masa 3 hari sahaja, dan apa yang menarik hampir kesemua rakan-rakan aku lulus ujian dan bakal dianugerahkan Pingat Gangsa Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia.

Bagi aku, ini adalah peluang dan rezeki yang diberikan oleh Allah untuk aku, berbanding ujian dan kursus yang sama beberapa tahun dahulu aku rasakan begitu sukar dan memeritkan, sampai aku sendiri hampir lemas ketika menjalankan ujian. Tapi kali ini segalanya terasa seakan-akan mudah. Terima kasih aku ucapkan kepada guru-guru dari Pusat-pusat Ko-Kurikulum Perlis dan Kedah yang banyak memberi tunjuk ajar serta bimbingan dan sanggup melayan karenah kami.

Seronok dapat jumpa rakan-rakan dan senior-senior sejabatan dari negeri-negeri lain, sekurang-kurangnya masa yang terhad bersama mereka di kolam renang aku cuba berkongsi pengalaman dan korek-korek idea dari mereka.

Harap-harap, aku berjaya dalam ujian untuk Pingat Gangsa kali ini, sekurang-kurangnya aku sudah berjaya mengatasi diri aku sendiri, itu sudah memadai.

Nota Perut: Sebenarnya aku ikut kursus nih untuk turunkan berat badan selepas Hari Raya, macam tak jadi je!

No comments: