20120901

PINGAT GANGSA UNTUK AKU - INSYAALLAH

Alhamdulillah, setelah kali kedua mencuba akhirnya aku berjaya mengatasi ketakutan dan rasa tidak yakin aku bila berada di dalam air. Secara jujurnya aku adalah seorang hidrofobik dan klaustrofobik. Air yang dalam dan gelap menggerunkan aku, sama juga dengan ruangan yang tertutup dan gelap boleh buat aku gelisah.

Pada hari Khamis yang lepas, aku telah berjaya menamatkan Kursus Menyelamat Kelemasan di Air untuk Pingat Gangsa yang telah diadakan di Kolam Renang Majlis Belia Kangar, Perlis. Sepatutnya kursus ini berjalan selama seminggu, namun atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan rakan-rakan lain, kursus berjaya dihabiskan dalam masa 3 hari sahaja, dan apa yang menarik hampir kesemua rakan-rakan aku lulus ujian dan bakal dianugerahkan Pingat Gangsa Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia.

Bagi aku, ini adalah peluang dan rezeki yang diberikan oleh Allah untuk aku, berbanding ujian dan kursus yang sama beberapa tahun dahulu aku rasakan begitu sukar dan memeritkan, sampai aku sendiri hampir lemas ketika menjalankan ujian. Tapi kali ini segalanya terasa seakan-akan mudah. Terima kasih aku ucapkan kepada guru-guru dari Pusat-pusat Ko-Kurikulum Perlis dan Kedah yang banyak memberi tunjuk ajar serta bimbingan dan sanggup melayan karenah kami.

Seronok dapat jumpa rakan-rakan dan senior-senior sejabatan dari negeri-negeri lain, sekurang-kurangnya masa yang terhad bersama mereka di kolam renang aku cuba berkongsi pengalaman dan korek-korek idea dari mereka.

Harap-harap, aku berjaya dalam ujian untuk Pingat Gangsa kali ini, sekurang-kurangnya aku sudah berjaya mengatasi diri aku sendiri, itu sudah memadai.

Nota Perut: Sebenarnya aku ikut kursus nih untuk turunkan berat badan selepas Hari Raya, macam tak jadi je!

20120824

MEMULAKAN LANGKAH

Sekarang umur aku sudah hampir menjangkau 26 tahun, Insyaallah. Aku sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Tapi sayangnya kami belum masih mampu memiliki kediaman sendiri seperti kebanyakan rakan-rakan sekerja aku yang lain yang sudah memiliki rumah sendiri dan kereta sendiri. Aku hanya mampu menyewa.

Tapi sejak kebelakangan ini, jiwa aku membentak ingin memiliki kediaman dan kereta sendiri yang lebih ruang. Bukan aku tidak mampu langsung. Kalau buat pinjaman di bank, aku mungkin sudah mampu memiliki sebuah kereta baru yang lebih besar, apa yang menghalang aku ialah jumlah pendapatan bersih selepas semua hutang dan perbelanjaan lain ditolak dari gaji. Boleh bikin  kebuluran kami anak beranak.
Sumber
Aku tidak mengamalkan konsep biar papa asal bergaya.

Baru-baru ini selepas pulang dari beraya tempoh hari, otak beku aku tak berhenti-henti berfikir cara untuk mendapatkan pendapatan sampingan, dan aku terfikir untuk memulakan semula perniagaan atas talian yang telah lama aku tinggalkan. Beberapa tahun lepas aku memulakan perniagaan pakaian terpakai atau baju bundle atas talian dan menggunakan Facebook sebagai platform aku berniaga.

Pendapatan dari perniagaan bundle online pada waktu itu agak menguntungkan, cukuplah untuk aku dan anak isteri buat belanja keluar makan-makan hujung minggu. Mungkin dengan mendapat pendapatan sampingan ini, boleh aku buat simpanan untuk membeli kereta baru atau cukup sekadar bayaran muka. Insyaallah.

Tapi untuk memulakan semula langkah yang aku dah lama tinggalkan agak perit. Kerana persaingan dalam bidang perniagaan bundle online semakin sengit, dan permintaan baju bundle pada pandangan aku semakin berbeza dan berubah berbanding beberapa tahun lepas.

Aku juga menghadapi masalah dalam mencari pembekal tetap untuk stok-stok baju bundle. Aku tidak boleh terlalu mengharap stok yang didapati di pasar-pasar malam, pasar hari, dan kedai-kedai bundle, kerana di situ sudah berlaku satu pertembungan dan persaingan antara pembeli dan pembekal. Harga juga agak tinggi berbanding baju bundle yang didatangkan secara pukal.

Aku menganggap ini sebagai satu ujian dan dugaan dari Tuhan untuk mematangkan aku. Kalau ada rezeki, tidak kemana. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Jadi kepada sesiapa yang melawat dan membaca entri ini, jika terdapat apa-apa cadangan dan nasihat, boleh hubungi saya melalui e-mail atau terus tinggalkan komen dekat bawah.

Salam.


20120823

PROLOG

Salam sejahtera kepada pelawat blog ini, terima kasih aku ucapkan kepada anda yang sudi bersinggah ke laman blog peribadi aku ini.

Laman blog picisan yang tidak seberapa ini aku bina untuk dijadikan laman aku melempiaskan pendapat, berkongsi cerita dan pengalaman, bertukar-tukar idea, dan juga dijadikan tempat menyimpan segala bahan rujukan semula untuk aku suatu hari nanti. Blog ini aku akan cuba beratkan kepada hal-hal personal yang tidak terlalu rumit.

Sebenarnya aku sudah lama berkecimpung dalam dunia blog ini. Cuma aku lebih suka bergerak secara "syok sendiri", kerap benar semangat aku untuk menulis pasang surut. Bukan apa, takut-takut bila aku kerap menulis, aku akan mula terawang-awang sehingga sudah tiada lagi rahsia untuk disimpan di dalam pekung.

Aku harap kali ini penulisan aku akan lebih konstan dan tidak kerap berlaku turun naik semangat untuk menulis.