20120824

MEMULAKAN LANGKAH

Sekarang umur aku sudah hampir menjangkau 26 tahun, Insyaallah. Aku sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Tapi sayangnya kami belum masih mampu memiliki kediaman sendiri seperti kebanyakan rakan-rakan sekerja aku yang lain yang sudah memiliki rumah sendiri dan kereta sendiri. Aku hanya mampu menyewa.

Tapi sejak kebelakangan ini, jiwa aku membentak ingin memiliki kediaman dan kereta sendiri yang lebih ruang. Bukan aku tidak mampu langsung. Kalau buat pinjaman di bank, aku mungkin sudah mampu memiliki sebuah kereta baru yang lebih besar, apa yang menghalang aku ialah jumlah pendapatan bersih selepas semua hutang dan perbelanjaan lain ditolak dari gaji. Boleh bikin  kebuluran kami anak beranak.
Sumber
Aku tidak mengamalkan konsep biar papa asal bergaya.

Baru-baru ini selepas pulang dari beraya tempoh hari, otak beku aku tak berhenti-henti berfikir cara untuk mendapatkan pendapatan sampingan, dan aku terfikir untuk memulakan semula perniagaan atas talian yang telah lama aku tinggalkan. Beberapa tahun lepas aku memulakan perniagaan pakaian terpakai atau baju bundle atas talian dan menggunakan Facebook sebagai platform aku berniaga.

Pendapatan dari perniagaan bundle online pada waktu itu agak menguntungkan, cukuplah untuk aku dan anak isteri buat belanja keluar makan-makan hujung minggu. Mungkin dengan mendapat pendapatan sampingan ini, boleh aku buat simpanan untuk membeli kereta baru atau cukup sekadar bayaran muka. Insyaallah.

Tapi untuk memulakan semula langkah yang aku dah lama tinggalkan agak perit. Kerana persaingan dalam bidang perniagaan bundle online semakin sengit, dan permintaan baju bundle pada pandangan aku semakin berbeza dan berubah berbanding beberapa tahun lepas.

Aku juga menghadapi masalah dalam mencari pembekal tetap untuk stok-stok baju bundle. Aku tidak boleh terlalu mengharap stok yang didapati di pasar-pasar malam, pasar hari, dan kedai-kedai bundle, kerana di situ sudah berlaku satu pertembungan dan persaingan antara pembeli dan pembekal. Harga juga agak tinggi berbanding baju bundle yang didatangkan secara pukal.

Aku menganggap ini sebagai satu ujian dan dugaan dari Tuhan untuk mematangkan aku. Kalau ada rezeki, tidak kemana. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Jadi kepada sesiapa yang melawat dan membaca entri ini, jika terdapat apa-apa cadangan dan nasihat, boleh hubungi saya melalui e-mail atau terus tinggalkan komen dekat bawah.

Salam.


No comments: